Fatwa Samahatus Syeikh Abdul Aziz Ibn Abdullah Ibn Baaz
Q-ada yang berpendapat bahawa perbuatan sesetengah pemimpin melakukan maksiat dan dosa besar, mewajibkan kita berusaha untuk menjatuhkannya dan melakukan reformasi walaupun perbuatan akan membawa mudarat kepada orang Islam dalam negeri tersebut. Peristiwa yang dialami oleh Negara-neraga Islam cukup banyak, apa pendapat syeikh?
A-Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam, serta selawat Allah ke atas Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, keluarganya dan sahabat-sahabat serta mereka yang mengikuti hidayahnya.
Sesungguhnya Allah Ta'ala telah berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (Surah an-Nisa': 59)
Ayat ini mewajibkan taat kepada pemimpin yang meliputi para umara dam ulama. Dalam satu hadis, Nabi sallallahu 'alaihi wasallam menegaskan bahawa ketaatan ini merupakan sesuatu yang wajib, dan menjadi fardu dalam perkara-perkara yang makruf.
Nas daripada as-Sunnah menerangkan makna dan menyokong ayat tersebut bahawa yang dimaksudkan dengan taat itu ialah ketaatan mereka pada perkara yang makruf. Maka wajib bagi umat Islam taat pada pemimpin mereka dalam perkara yang makruf, dan bukan pada perkara maksiat. Apabila pemimpin menyuruh melakukan maksiat, mereka tidak boleh ditaati, tetapi tidak harus menderhakai atau cuba menggulingkan mereka berdasarkan sabda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam:
ألا مَنْ وَلِيَ عليهِ وَالٍ ، فرآهُ يَأْتي شَيئا مِنْ مَعصيةِ اللهِ ، فليكره ما يأتي من معصية الله، ولا يَنْزِعَنَّ يَدا من طَاعَةٍ
Maksudnya: "Barang siapa yang diperintahkan oleh seorang pemerintah, kemudian ia melihatnya melakukan maksiat kepada Allah Ta'ala, hendaklah ia membenci perkara maksiat tersebut, tetapi tidak boleh mencabut ketaatannya kepada pemimpin tadi." (Hadis riwayat Muslim)
مَنْ خَرَجَ مِنْ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً
Maksudnya: "Barang siapa yang keluar daripada ketaatan, serta berpisah daripada jemaah, lalu ia mati, maka matinya dalam keadaan jahiliah." (Hadis riwayat Muslim)
عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ إِلاَّ أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ
Maksudnya: "Wajib ke atas seseorang itu, dengar dan taat apa yang dia suka ataupun benci, kecuali apabila dia diarah melakukan maksiat. Pada ketika itu tidak perlulah ia dengar dan taat." (Hadis riwayat Muslim)
Para sahabat pernah bertanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, apabila baginda menyebut tentang terdapat segolongan pemerintah yang kamu mendapat kebaikan dan kemungkaran daripada mereka. "Apa yang patut kami lakukan?" Baginda bersabda:
أَدُّوا إِلَيْهِمْ حَقَّهُمْ وَسَلُوا اللَّهَ حَقَّكُمْ
Maksudnya: "Tunaikanlah hak mereka, dan pohonkanlah kepada Allah hak kamu."(Hadis riwayat Bukhari)
Ubadah bin al-Samit berkata: "Kami berbaiah kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam untuk memberi ketaatan dalam keadaan kami suka atau benci, dalam keadaan susah dan senang, kami akan mengutamakan Rasulullah ke atas diri kami sendiri dan kami tidak merampas hak pemerintah." Kemudian Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Kecuali jika kamu dapati kekafiran yang jelas, yang ada dalil dan bukti daripada Allah Ta'ala."
Ini merupakan dalil bahawa tidak harus menderhakai pemerintahan serta cuba menjatuhkan mereka, kecuali jika terhadap kekurufan yang nyata yang terdapat dalil daripada Allah Ta'ala. Ini kerana cubaan untuk menjatuhkan seseorang pemimpin boleh menyebabkan kerosakan yang besar serta keburukan yang dapat menggugat keamanan serta mengabaikan kewajipan. Pada ketika itu tiada orang dapat menghalang kezaliman dan membantu mereka yang dizalimi, serta keadaan menjadi kacau-bilau dan keamanan tidak lagi wujud.
Oleh itu, cubaan untuk menggulingkan seseorang pemimpin boleh membawa padah yang buruk serta keburukan yang nyata. Kecuali pada ketika umat Islam melihat kekufuran yang nyata, yang ada dalil daripada Allah tentang kekufuran mereka itu. Pada ketika itu haruslah menjatuhkan pemerintah tadi jika mereka mempunyai kekuatan. Tetapi jika mereka tidak mempunyai kekuatan, ataupun perbuatan mereka menjatuhkan pemerintah tadi boleh membawa kepada kerosakan yang lebih besar, maka tidak harus bagi mereka menjatuhkannya demi menjaga maslahah umum, berdasarkan kaedah syarak yang disepakati iaitu: Tidak harus menjatuhkan kejahatan dengan sesuatu yang lebih buruk daripadanya, bahkan mesti menolak keburukan itu dengan sesuatu yang dapat menghapuskannya atau meringankannya. Adapun menolak keburukan dengan keburukan yang lebih besar, maka hal ini tidak harus dengan ijmak (kesepakatan) para ulama.
Jika kumpulan yang melucutkan jawatan pemerintah yang melakukan kekufuran yang nyata itu mempunyai kekuatan untuk berbuat demikian dan menggantikannya dengan seorang pemerintah yang soleh dan baik tanpa membabitkan sebarang kemusnahan terhadap orang Islam, maka hal itu dibenarkan.
Tetapi jika perbuatan mereka itu mendatangkan kerosakan, menggugat keamanan, menzalimi orang ramai, serta lain-lain keburukan maka perbuatan itu tidak diharuskan. Bahkan mereka diwajibkan bersabar, dengar dan taat di dalam perkara yang makruf. Menasihati pemimpin serta menyeru mereka ke arah kebaikan. Mereka juga mesti berusaha meringankan atau mengurangkan kejahatan tersebut serta memperbanyakkan kebaikan.
Inilah jalan sebenar yang mesti diikuti untuk mendapatkan kemaslahatan bagi umat Islam. Ia juga dapat mengurangkan kejahatan dan menambah kebaikan selain daripada dapat menjaga keamanan dan menyelamatkan orang Islam daripada terjerumus ke dalam keburukan yang lebih besar. Kita pohon taufik dan inayah daripada Allah Ta'ala.
P/s:islam itu indah dan mudah tapi kita yang membuatkan dia menjadi susah
Wallahu a’lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan